Bismillahhirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

          AIhamdulillah, pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpahan kurniaan dan keizinan-nya, kita dapat bersama-sama meneruskan agenda pendidikan negara terhadap anak-anak bangsa Malaysia pada sesi persekolahan tahun 2014. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan “Selamat Menyambut Tahun Baru 2014“ kepada semua warga SMKTP. Saya juga menaruh harapan yang menggunung kepada semua warga SMKTP , semoga pada tahun ini kita dapat menyemarakkan lagi azam dan menjana usaha-usaha yang tidak mengenal jemu dan lelah bagi kecemerlangan anak-anak didik kita yang dikasihi dan seterusnya berjaya merealisasikan visi iaitu " Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera " dan misi " Merealisasikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara " . Insya-Allah.

         Dalam dunia tanpa bersempadan ini , setiap warga pendidik perlu terus-terusan berusaha dan melakukan anjakan paradigma untuk mengaplikasikan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam segala aspek dalam usaha melahirkan pelapis kepemimpinan untuk memenuhi cabaran dan tuntutan glokal dan global. Sesungguhnya , kecemerlangan anak didik di sekolah ini amat meraih banyak pengorbanan dan kesungguhan semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung. Murid-murid dan warga pendidik generasi hari inilah ditumpahkan semua harapan untuk merealisasikan sebuah masyarakat Malaysia yang unggul dan cerdik akalnya bagi mendepani segala perubahan dan cabaran.

         Oleh itu, saya berharap dan berdoa agar kita dapat meningkatkan iltizam, berjaya mengharungi apa-apa sahaja cabaran , memperbaharui tekad , dan menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan untuk melonjakkan mutu pendidikan negara umumnya dan SMKTP khususnya. Semoga usaha gigih ini akan berterusan sehingga ke titik akhirnya dalam merealisasikan visi dan misi sekolah , serta aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina negara bangsa dengan memastikan setiap murid mempunyai jati diri yang kukuh , ampuh dan tidak mudah goyah dengan cabaran globalisasi. Dengan pendekatan berkesan yang telah digembleng, maka apa-apa yang dicita-citakan oleh kita akan menjadi realiti dan bukannya fantasi atau retorik semata-mata.

          Akhir kalam, saya sesungguhnya mengharapkan visi dan misi sekolah berjaya digarap dengan jayanya. Kepada Allah s.w.t dipohonkan taufik dan hidayah agar usaha murni ini diberkati dan diredai-Nya.
 
    Sekian. Terima kasih.
 “ USAHA UNTUK BERJAYA”
   HAJAH ROBIAH BT YAAKOB
   PENGETUA SMK TOK PERDANA

Make a Free Website with Yola.